Monday, June 23, 2008

Mengimbau Perjuangan Ust Fadzil Noor.

Pada jam 10.30 pagi waktu Malaysia Barat 23 Jun 2002 . Yb Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor Presiden PAS disahkan meninggal dunia di Bilik Unit Rawatan Rapi ( ICU ) HUKM setelah dimasukan ke HUKM selepas mengadu sakit dada dan tidak sedarkan diri setelah menjalani pembedahan pintasan jantung ( by-pass coronay ) pada 10 jun 2002.

Perginya Allahyarham ke pangkuan Rabbul Jalil itu umpama hilangnya sebutir emas permata yang tiada tolok bandingnya khususnya dalam arena politik Malaysia. Allahyarham seorang tokoh yang disegani oleh kawan dan lawan kerana kepetahanya berpidato dan kekuatan hujah dan mantiqnya dalam mengutaran sesuatu isu yang berkaitan agama, rakyat dan negara.

Saya antara berjuta orang yang mengagumi Allahyarham dan saya sendiri mempunyai sejarah dan kenangan bersama Allahyarham walaupun secara tidak langsung.Bermula dari Pilihanraya kecil Dun Sanggang di Temerloh pahang pada tahun 1999 yang pada ketika itu saya sebagai AJK PAS Kawasan Temerloh yang tentunya terlibat secara langsung dengan pilihanraya tersebut. Bagaimana pada ketika itu Allahyarham berkampung di Temerloh dari hari peristiharan calon PAS iaitu Dato' Hishamuddin Yahya dan seterusnya siri kempen pilihanraya berlangsung sehinggalah kepada hari pembuangan undi dan pengumumanya.

Saya dengan jelas melihat betapa Allahyarham pada ketika itu tampak uzur dan sering batuk dan kadangkala kelihatan batuknya serius namun Allahyarham tetap gagahi juga untuk menuruskan pidato dalam siri kempen pilihanraya itu.Cukup sayu dan sedihnya saya pada ketika itu dan tidak dapat saya gambarkan apabila melihatkan kesungguhan Allahyarham untuk melihat PAS dapat diterima oleh para pengundi di Dun Sanggang itu.

Saya juga adalah insan kerdil dalam lautan penyokong BA dalam menyertai beberapa siri rapat umum yang turut disertai oleh Allahyarham dibeberapa lokasi di KL dan Lembah Kelang sejak berlakunya era Reformasi 1997 hingga 2002.

Allahyarham sering mengetuai perarakan rapat umum mendesak kerajaan dalam pelbagai isu seperti isu Anwar Ibrahim dan Reformasi, penentangan terhadap Amerika, isu ISA dan lain-lain memperlihatkan ketokohanya dalam memimpin ummah.Tiada riak gentar yang terpamer di wajah Allahyarham apabila diasak oleh FRU dan anggota polis bahkan Allahyarham juga beberapa kali terperangkap dalam kepungan asap pemedih mata yang dilontar oleh FRU namun Allahyarham tetap tabah dan memberikan semangat dan dorongan kepada para penyokognya.

Terdetik juga dalam hati saya, apa akan jadi pada Allahyarham ketika dalam Demonstrasi di High Way Kesas bila mana kami semua sudah terperangkap di tengah-tengah lebuhraya itu dan pasukan polis dan FRU mula mengganas. Dalam kekalutan itu YB Muhammad Sabu terkena sebatan dari FRU dibetisnya dan para pengawal sibuk untuk mempertahankan serta melindungi Allahyarham yang sebelumnya terpaksa dibawa masuk dalam celahan orang ramai dengan motorsikal untuk memimpin rapat tersebut.

Masih terngiang-ngiang dicuping telinga saya akan kepetahan Allahyarham ketika dalam siri perbahasanya dalam Persidangan Parlimen sebagai Ketua Pembangkang pada ketika itu. Allahyarham kadang dilihat bersahaja tetapi tegas dalam hujahnya dan itulah yang membuatkan barisan BBC BN tercungap untuk menghadapinya dan kelihatan para Menteri pun kadang gelisah dengan hujah-hujah yang diutarakanya.Kerana itulah saya pada ketika itu sering ke Parlimen untuk mengikuti sidang dan kehadiran saya dalam sidang selepas pemergianya amat saya rasai betapa anggunya ketokohan Allahyarham.
Kini sudah 6 tahun Allahyarham meninggalkan kita. Bukan sekadar meninggalkan kita untuk selama-lamanya tetapi meninggalkan wadah perjuangan yang diselusurinya.Betapa sayangnya Allahyarham kepada PAS hanya Allah sahaja yang tahu.Pemergianya diratapi oleh jutaan manusia yang sayangkan Allahyarham.Kita melihat puluhan ribu barangkali ratusan ribu yang hadir ketika pemakaman Allahyarham di perkarangan Muasasah Darul Ulum Pokok Sena setah diwasiatkan agar jasadnya di kebumikan di situ. Sungguhpun saya antara jutaan penyokongnya yang tidak dapat hadir ke pengkebumianya tetapi cukup saya rasai apabila melihat rakaman vedio pada hari yang bersejarah itu. Mana ada insan dalam negara ini khususnya dari BN rakaman vedio pengkebumian mereka habis dipasaran melainkan Allahyarham.



Cuba anda bayangkan jika kini Allahyarham masih memimpin kita dalam PAS dan menjangkau usia 71 tahun melihat prestasi yang dicapai oleh PAS dan PR dalam meraih kemenangan dalam PRU 12 yang lalu. Betapa gembiranya Allahyarham..... begitu juga dengan tok-tok guru kita yang telah kembali sebelum melihat prestasi PAS kini walaupun belum seratus peratus berjaya tetapi ia cukup untuk memotivasikan kemenangan PAS pada masa akan datang.

Marilah kita merapatkan saf perjuangan kita untuk terus memperkasakan perjuangan islam yang telah diletakkan oleh Allahyarham dilandasan dan paksi yang ampuh dalam persada politik negara untuk mendaulatkan Syiar dan Syariat Islam. Moga Allah mengampun segala dosa Allahyarham dan merahmatinya serta menempatkannya bersama dengan orang-orang pilihanNya seperti para wali dan syuhada. Amin Ya Rabbal Alamin....... Alfatihah....
Mohd Reza Hj.Kamaruddin AlBanjari
Taman Equine
26 June 2008

No comments: