Monday, August 11, 2008

Sarang Tebuan Dijolok Jangan

Saya ingin mengajak para pembaca menilai dan bermuhasabah diri dengan satu persoalan besar yang sewajarnya kita ambil perhatian iaitu DIMANAKAH KEKUATAN ISLAM DAN KEDUDUKAN ORANG-ORANG MELAYU DI MALAYSIA?
Barangkali setiap kita boleh memberi pelbagai hujah dan jawapan kepada persoalan tersebut namun pada kesempatan ini saya ingin mengingatkan agar kita mengambil perhatian terhadap perkara-perkara yang menjadi jawapan yang releven kepada persoalan tersebut.
Mungkin kita biasa mendengar Artikel 121 (1 A) Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya inilah benteng pertahanan akhir maruah dan martabat Islam di Malaysia kerana menjelasan berikut :
Apa itu Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan?
Artikel 121 (1A) adalah peruntukan perlembagaan yang menghalang Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah Syariah.
Adakah Artikel 121 (1A) wujud dari dahulu?
Tidak. Sebelum 1988, urusan-urusan mahkamah Syariah selalu diganggu oleh mahkamah Sivil. Apa yang telah diputuskan di Mahkamah Syariah dengan mudahnya dikacau oleh mahkamah Sivil. Hal ini sebenarnya mengganggu urusan orang Islam kerana orang Islam mempunyai hak dan kewajipan untuk dihukum di Mahkamah Syariah.
Tokoh-tokoh seperti Allahyarham Tan Sri Ahmad Ibrahim telah berusaha lama untuk memastikan urusan Mahkamah Syariah bebas dan tidak diganggu oleh Mahkamah Sivil, dan hanya pada tahun 1988, peruntukan (1A) dimasukkan. Mahkamah Syariah mula ada kebebasan setelah 31 tahun Malaysia merdeka.
Kenapa perlu bagi ruang pada mahkamah Syariah?
Dari sudut sejarah, Mahkamah Syariah telah wujud sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi dengan wujudnya undang-undang seperti Undang-Undang Melaka. Semua negeri di Tanah Melayu mempunyai undang-undang Islamnya sendiri. Namun kewujudannya telah dikacau oleh penjajah sewaktu penjajahan mereka dan akhirnya mula Inggeris mula memperkenalkan undang-undang Common Law bermula dengan perjanjian Pangkor 1786, Piagam Keadilan 1807 dan piagam Keadilan 1824.
Adakah Artikel 121 (1A) mengganggu hak orang bukan Islam?
Tidak. Sebenarnya ia memberi semula hak orang Islam yang telah lama dihilangkan walaupun undang-undang Islam adalah lex loci. Kewujudan mahkamah Syariah sebenarnya tidak langsung mengacau hak orang bukan Islam di Malaysia.
Apakah impak Artikel 121 (1A) kalau ia digugurkan?
Antara impaknya adalah orang Islam akan kehilangan hak. Ia tidak sama sekali mewujudkan keharmonian dalam negara kerana orang Islam adalah penduduk majoriti di Malaysia. Sedangkan kewujudan 121 (1A) tidak pernah menghilangkan hak orang bukan Islam. Selain itu, kedudukan mahkamah Syariah akan kembali mundur seperti sebelum tahun 1988, di mana Mahkamah Sivil boleh mencampuri bidang kuasa Mahkamah Sivil.
Apa salahnya orang Islam menuntut di Mahkamah Sivil?
Bukankah wujudnya mahkamah Syariah menyusahkan sahaja?
Kalau begitu, saya ingin bertanya balik, "Apa salahnya orang bukan Islam hanya dibenarkan menuntut di Mahkamah Syariah? Bukankah wujudnya Mahkamah Sivil menyusahkan sahaja?"
Itu hak kami. Kewajipan kami sebagai orang Islam, dihukum dengan undang-undang Islam.
Apa yang terbaik sebenarnya?
Seperti yang disebut dari awal, Artikel 121 (1A) tidak pernah menganggu gugat hak orang bukan Islam. Ia cuma memberikan hak orang Islam dan mahkamah Syariah kembali kepada asal.
Tetapi Artikel 121 (1A) tidak cukup. Ada banyak lagi perlu dibaiki untuk kebaikan bersama. Ini yang perlu dibincangkan. Bukannya menuntut sesuatu yang menyebabkan status Mahkamah Syariah mundur ke belakang.
Tidak boleh disembunyikan lagi. Jabatan-Jabatan Agama Islam wajib membimbing dan menjaga kebajikan orang yang baru memeluk Islam. Dan isu seperti perwarisan harta yang boleh diatasi dengan baik. Dan sebagainya.
Artikel 121 (1A) adalah satu peruntukan yang baik untuk keharmonian agama. Ia perlu dikekalkan dan perlaksanaannya perlu dibaiki dari masa ke masa.
Pandangan saya sebagai orang awam mengenai isu yang cuba dibangkitkan oleh Majlis peguam dengan menganjurkan forum " Memeluk Islam" yang menjadi kegelisahan dan kemarahan umat islam di negara kita namun akhirnya forum ini dibatalkan dari jadual asalnya pada 09 Ogos lepas.
Persoalanya bukanlah forum itu berjaya dibatalkan hasil dari desakan umat islam atau ia diteruskan. Masalahnya ialah apabila ada dikalangan orang bukan islam dalam negara kita ini seakan bersa sudah kuat dengan pelbagai latarbelakang kedudukan mereka dan kini mereka dengan kesatuan yang mantap serta telah berani mencabar kedudukan artikel 121 (1A) yang mereka lihat artikel inilah yang menjadi punca kekuatan kepada Islam terutamanya apabila ada dari kalangan orang bukan islam yang memilih untuk mengucap Dua Kalimah Syahadah.
Namun harus diingat kita jangan leka dari mempertahankan maruah dan kedaulatan islam yang telah dijamin dalam Perlembagaan persekutuan kerana mereka-mereka ini tentunya berfikir dan mencari jalan untuk melemahkan kita dengan cara meminda atau menghapuskan Artikel 121 (1A) ini.
Kita jangan mudah terperangkap dengan helah dan isu-isu yang ditimbulkan kerana mereka sebenarnya ingin menguji kepekaan kita dan cuba memecahbelahkan kita dan menggugat kestabilan dan keharmonian kaum agar kita bersengkita sesama kita lalu " yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu".
Akhirnya saya menyeru kepada seluruh umat islam Malaysia agar perihatinlah kepada isu yang seumpama ini kerana artikel inilah yang melindungi islam dalam Perlembagaan Malaysia walaupun sebenarnya yang memelihara islam itu adalah pemiliknya iaitulah Allah swt.

No comments: